KUALA LUMPUR: Kuota rasmi jemaah haji Malaysia bagi tahun ini kekal 30,200 orang seperti tahun lepas, menurut Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Dalam kenyataan pada Rabu, beliau berkata kuota itu adalah seperti yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi iaitu sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

Justeru, TH menafikan laporan sebuah portal berita kononnya kerajaan Arab Saudi menyekat atau mengurangkan kuota tersebut pada tahun ini.

Malah, TH telah membuat persiapan rapi terutama dari segi penginapan di Makkah dan Madinah, penerbangan, pengangkutan, sajian makanan serta penyelarasan petugas TH dalam usaha memastikan kebajikan jemaah terjamin sepanjang menunaikan ibadah haji.

“Para jemaah juga telah menghadiri Kursus Perdana Haji di seluruh negara bermula minggu lepas bagi meningkatkan tahap pengetahuan jemaah berkaitan ibadah haji terutama dari segi praktikal.

“Sebanyak tiga Kursus Perdana Haji lagi akan dilaksanakan minggu ini di Perlis, Zon Tengah Sarawak dan Zon Pantai Timur Sabah,” menurut kenyataan itu.

Penerbangan pertama haji dijangka berlepas pada 14 Julai ini sementara penerbangan terakhir ke Tanah Suci dijangka pada 14 Ogos 2018.

Advertisements