Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta menjadi tumpuan perhatian pagi ini bila bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka didakwa berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi beliau dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Najib, yang akan mencecah usia 65 tahun pada 23 Julai, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, yang terletak di Aras 4, sayap kanan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Beliau dijangka menghadapi lebih 10 tuduhan melakukan pecah amanah oleh seorang petugas awam atau agen yang dikaitkan dengan kes SRC International Sdn Bhd di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, beserta sebatan dan boleh dikenakan denda.

Tommy Thomas akan muncul buat kali pertama dengan tugas baharunya sebagai Peguam Negara dalam kes terhadap bekas perdana menteri itu.

Peguam bela terkemuka itu akan mengetuai pasukan pendakwa.

Difahamkan kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman.

Tuduhan itu dijangka dibacakan kepada Najib di Mahkamah Sesyen dan tidak ada pengakuan direkodkan daripada beliau.

Pengakuan akan hanya direkodkan bila kes beliau dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di aras 4.

Dalam kalangan enam bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib adalah yang pertama menghadapi dakwaan jenayah.

Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di Kuala Lumpur pada 2.35 petang Selasa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan SRC International.

Bekas Perdana Menteri itu telah hadir ke ibu pejabat SPRM dua kali bagi merekodkan keterangan berhubung kes SRC International.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Advertisements