Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak, menetapkan ikat jamin RM1 juta untuk semua pertuduhan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan 2 penjamin dan 2 pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

8 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes untuk menentukan tarikh perbicaraan.

Ia selepas Datuk Seri Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatannya membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ahli Parlimen Pekan itu meminta dibicarakan selepas 4 pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.

Terdahulu, pasukan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas meminta ikat jamin ditetapkan pada RM4 juta, iaitu RM1 juta bagi setiap pertuduhan.

Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun memohon hakim mengurangkan jumlah itu kepada RM500,000 hingga RM800,000 dan membenarkan anak guamnya menyerahkan geran tanah yang mempunyai nilai sama sebagai cagaran.

“Anak guam saya melalui anak-anak dan isterinya perlu dapatkan duit dari saudara-saudara mereka. Mereka mempunyai sejumlah wang, tetapi setakat ini tidak sampai RM4 juta,” katanya.

Bayaran ikat jamin RM500,000 dibuat manakala bakinya dijangka dibayar Isnin depan.

Advertisements