KUALA LUMPUR – Penangkapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menjadi bahan berita di seluruh dunia.

Agensi berita antarabangsa seperti Reuters, AFP, Xinhua dan badan penyiar seperti BBC dan Al-Jazeera serta beberapa yang lain mengikuti secara dekat perkembangan yang berlaku susulan penangkapan Najib di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta di sini pada 2.35 petang semalam.

Berikutan kedudukan Datuk Seri Najib yang mendapat perhatian hebat pihak media kebelakangan ini, penangkapan beliau menjadi berita utama dalam kebanyakan platform media.

Akhbar harian terkemuka Australia, ‘The Australian’, memuatkan laporan menyeluruh tentang peristiwa berkaitan penangkapan Datuk Seri Najib pada muka depannya, manakala akhbar United Kingdom, ‘The Guardian’, menyiarkan secara besar-besaran semua berita berkaitan Najib dan dana 1MDB yang dicemari skandal.

Awal hari ini, Datuk Seri Najib dikenakan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan menyalahguna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB.

Advertisements