Rosmah Mansor, isteri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat meninggalkan kediaman mereka di Jalan Langgak Duta hanya beberapa minit selepas tengah malam tadi.

Beliau menaiki kenderaan SUV putih dan diekori sebuah lagi kenderaan SUV berwarna hitam.

Sebelum ini, kumpulan peguam yang mewakili Najib dan Rosmah dilihat memasuki dan meninggalkan kediaman tersebut.

Peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah muncul di kediaman di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur beberapa jam selepas penahanan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kira-kira pukul 9.30 malam tadi, kenderaan SUV hitam yang didaftarkan di bawah nama Shafee dilihat memasuki kawasan kediaman Najib.

Shafee turut berada di ibu pejabat SPRM sekitar 8.40 malam tadi.

Terdahulu, kenderaan adik kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Nizam Razak, turut dilihat memasuki kawasan kediaman berkenaan.

Nizam kemudian dilihat meninggalkan kediaman itu sekitar 10.30 malam.

Advertisements