GOMBAK: Dua suspek kes bunuh bayi lelaki berusia lima tahun yang ditemui mati di rumah pengasuhnya Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, di sini, malam tadi, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daeah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya membuat permohonan reman terhadap kedua-dua suspek itu di Mahkamah Selayang, di sini, pagi tadi.

“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Julai nanti bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Kami masih menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa dan mengenal pasti motif pembunuhan. Belum ada senjata ditemui di lokasi kejadian sehingga kini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Malam tadi, dilaporkan Adam Rayqal Mohd Sufi berusia lima bulan dilaporkan hilang selepas dikatakan tersalah serah bayi berkenaan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapanya di rumah pengasuh terbabit di Kampung Nakhoda, Batu Caves kira-kira 6.30 petang, semalam.

Bagaimanapun, siasatan polis menemui mayat bayi berkenaan disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah pengasuh terbabit, kira-kira jam 11 malam tadi selepas mendapati terdapat keraguan pada keterangannya.

Ali dalam sidang media di lokasi kejadian awal pagi tadi memaklumkan bayi berkenaan lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.

Polis sudah menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun di rumah sewa mereka, semalam.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Advertisements