Malah, Polis Indonesia (Polri) dan Imigresen Indonesia sudah selesai mengambil keterangan terhadap Pengerusi Gerakan Baju Merah itu, selain proses dokumentasi perjalanan beliau ke negara itu.

Peguam yang mewakili Jamal, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, dia melantik peguam di Indonesia, Adherie Zulfikri, bagi menguruskan penahanan Jamal ekoran berlainan bidang kuasa dan sistem perundangan.

“Oleh kerana berlainan bidang kuasa dan sistem perundangan, saya berhubung dengan rakan peguam saya di sana, Bapak Adherie Zulfikri dan melantik beliau sebagai peguam yang mewakili Datuk Seri Jamal di sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dia ke Polda (Pejabat Polis Daerah) Metro Jaya, Jakarta tempat Jamal ditahan dan selepas dibantu oleh Adherie, beliau dapat bertemu Jamal.

“Datuk Seri Jamal dalam keadaan sihat walaupun kelihatan sedikit letih dan dijaga dengan baik oleh pihak Polda Metro Jaya. Saya juga dimaklumkan bahawa pihak Polda menyediakan segala keperluan beliau termasuk ubat-ubatan.

“Selesai proses merakam keterangan dan dokumentasi di Polda Metro Jaya, kira-kira jam kurang 9.15 malam (waktu Indonesia), beliau diiring dan dibawa ke Imigresen Indonesia untuk proses dan dokumentasi pihak Imigresen.

“Pada 4 Julai, beliau dibantu Bapak Adherie di Imigresen untuk proses merakam keterangan dan siasatan. Kemudian beliau dibawa semula ke Polda Metro Jaya dan saya juga dimaklumkan rakan peguam bahawa beliau akan dihantar pulang pada hari ini,” katanya.

Mohd Imran berkata, beliau dimaklumkan rakan peguam bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di Jakarta untuk proses penyerahan Jamal pagi ini.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Datuk Seri Jamal dijangka akan berlepas dari Jakarta ke Kuala Lumpur jam 11 pagi waktu Indonesia hari ini dengan pesawat MH710.

“Saya dan keluarga Datuk Seri Jamal mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada pihak Polri, Imigresen Republik Indonesia, pihak Kedutaan Malaysia dan rakan peguam saya Bapak Adherie yang membantu sepanjang Datuk Seri Jamal ditahan.

Advertisements