ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan memberikan air percuma kepada golongan pendapatan sederhana negeri ini bermula awal September.

Ia bagi menepati antara 10 janji manifesto Pakatan Harapan Johor dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata air percuma 10 meter padu itu akan memberi manfaat kepada 395,000 isi rumah yang berkelayakan.

“Kita telah lihat dan teliti, Kerajaan Johor ada kemampuan untuk biaya kos ini. Ini telah diluluskan dalam mesyuarat semalam dan kita akan mulakan pada awal September ini,” kata beliau pada sidang media semasa menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Prasarana Rakyat Johor di sini, hari ini.

Dalam manifesto Pakatan Harapan Johor, 10 meter padu air percuma akan diberikan berserta bekalan air berkualiti tanpa gangguan.

Advertisements