KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Rais Yatim mempersoalkan kewajaran penangguhan pendakwaan kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, pendengaran kes membabitkan Najib itu sepatutnya disegerakan.

Beliau turut menyifatkan tempoh penangguhan hampir lapan bulan itu sebagai aneh dan satu penderaan kepada Najib.

“Ini aneh dan amat mendera yang dituduh serta meremehkan sistem keadilan,” katanya menerusi Twitter, semalam.

Sehubungan itu, Rais yang juga bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan itu meminta pihak pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas dan pihak pembelaan memohon mahkamah menyemak semula tempoh penangguhan berkenaan.

“Harus dua-dua pihak mohon mahkamah untuk semak jadual awalan demi keadilan,” katanya.

Semalam, peguam bela kepada bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mempersoalkan kesediaan pasukan pendakwaan membawa prosiding kes membabitkan anak guamnya kerana pihak berkenaan yang meminta penangguhan.

Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah dan rasuah wang berjumlah RM42 juta, membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah membenarkan jaminan RM1 juta dikenakan terhadap Najib dengan dua orang penjamin dan beliau perlu menyerahkan pasport diplomatik serta pasport awam.

Kelmarin, bekas Presiden UMNO itu bermalam di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini, sementara menunggu pertuduhannya di mahkamah.

Advertisements