SHAH ALAM: Aspek pelesenan dan pendaftaran terhadap pusat asuhan kanak-kanak dan pengasuh yang menerima upah menjaga kanak-kanak di kediaman sendiri di Selangor perlu dikaji semula demi keselamatan anak-anak bawah jagaan mereka, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata orang ramai terutama para ibu bapa perlu mengambil iktibar kematian tragis bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi, yang mayatnya ditemui di dalam peti sejuk rumah pengasuhnya di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, lewat malam semalam.

“Kejadian ini mengajak semua pihak supaya lebih berhati-hati ketika meletakkan anak kita di pusat asuhan dan mungkin kita kena lihat semula bagaimana peranan pelesenan dan pendaftaran mereka yang menawarkan perkhidmatan penjagaan anak-anak serta pusat asuhan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat hari ini berkata hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur ke atas Adam Rayqal mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dan kesan retak di bahagian tempurung kepala.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad dalam sidang media di lokasi kejadian awal pagi tadi memaklumkan bayi berkenaan ditemui lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta dimasukkan di dalam beg berwarna hijau.

Susulan kejadian itu, polis menahan pengasuh berumur 33 tahun bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun di rumah sewa mereka, semalam dan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat di Mahkamah Selayang, pagi tadi bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Advertisements