Jamal yang ditahan di Tebet, Jakarta Selatan, Indonesia, pada 2 Julai lalu diiringi beberapa pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata tindakan membawa Jamal terus ke mahkamah adalah sebagai mempercepatkan proses pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Selain itu Jamal juga akan berhadapan dengan semua waran tangkap yang sudah dikeluarkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Jamal sebelum ini ditahan oleh sepasukan pegawai Polis Republik Indonesia (POLRI) selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta bantuan negara jiran berkenaan mengesan dan memberkas Jamal ketika dia berada di Indonesia.

Sebaik ditahan, Jamal kemudian disiasat oleh Polis Antarabangsa Indonesia (INTERPOL Indonesia) dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Indonesia untuk tindakan dan proses pengusiran.

Semalam, Polis Kontinjen Selangor, menghantar pegawainya ke Jakarta selepas proses dokumentasi oleh Jabatan Imigresen Indonesia selesai dijalankan.

Serentak dengan itu, Jamal kemudian diserahkan kepada pegawai PDRM untuk dibawa kembali ke tanah air.

Jamal menghilangkan diri semasa dalam tahanan remab ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang pada 25 Mei lalu.

Tidak lama selepas itu, pihak polis mengeluarkan waran tangkap ke atas Jamal berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Semasa menghilangkan diri, Jamal mengeluarkan beberapa klip video dengan memberikan alasan tindakannya bersembunyi di beberapa lokasi yang tidak diketahui.

Advertisements