ULAANBAATAR (Mongolia): Jemaah menteri kini perlu membuat cadangan lengkap untuk ke luar negara atas urusan rasmi kerajaan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Beliau berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha perbelanjaan berhemah yang dipraktikkan kerajaan baharu.

“Langkah itu juga bagi menangani masalah hutang negara.

“Perbelanjaan berhemah ini turut membabitkan setiap peringkat (Kerajaan Pusat dan negeri di bawah PH).

“Kita sudah pun mengurangkan perbelanjaan untuk sambutan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chinggis Khaan menggunakan pesawat komersial, di sini, pagi tadi.

Dr Wan Azizah ke sini untuk menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) yang berakhir esok.

Beliau akan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan dan mengambil kesempatan untuk bertemu pelajar Malaysia di negara itu sebelum pulang ke tanah air keesokannya.

Selasa lalu dilaporkan Timbalan Perdana Menteri hanya menaiki pesawat komersial dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun untuk ke sini walaupun beliau layak menikmati kemudahan pesawat rasmi kerajaan yang tentunya membabitkan kos lebih mahal.

Selain itu, beliau juga meminta ditempatkan di bilik biasa Hotel Shangri-la sebagai langkah penjimatan.

Ditanya mengenai keputusannya itu, Dr Wan Azizah berkata, beliau tidak kisah berbuat demikian walaupun ini lawatan kerja pertamanya ke luar negara sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa hutang negara mencecah RM1 trilion, namun jumlah itu dinafikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Advertisements