KUALA LUMPUR: Mayat wanita yang dikerat enam dan diletakkan dalam dua beg sebelum ditemui di Jalan Ipoh, di sini, Khamis lalu dikesan memakai loket kalimah Allah.

Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur, meminta saksi atau kenalan yang ada kenalan atau ahli keluarga mereka memakai loket sedemikian supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata pada masa ini pihak polis masih berusaha mengenalpasti identiti si mati.

“Berdasarkan proses pengecaman awal pada tubuh badan mangsa, tiada sebarang tanda suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemui yang menyatakan kemungkinan dia bukan rakyat tempatan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata, selain mengenalpasti identiti mangsa, pihaknya juga masih menjalankan siasatan secara terperinci dalam mengenalpasti identiti suspek termasuk berdasarkan maklumat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,

“Pihak Polis Daerah Dang Wangi juga sudah membuat perbandingan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mendapati cap jari mangsa tidak mempunyai sebarang rekod menunjukkan dia adalah warga tempatan.

“Selain itu, rekod cap jari yang sama juga tidak mengesan mangsa mempunyai sebarang rekod jenayah berdasarkan sistem rekod jenayah pusat,” katanya.

Advertisements