TOKYO : Sekurang-kurangnya 49 orang maut manakala 48 mangsa masih hilang dalam kejadian hujan lebat yang melanda bahagian barat dan tengah Jepun.

Menurut laporan stesen televisyen kerajaan NHK pada Sabtu, keadaan itu juga menyebabkan lebih 1.6 juta penduduk terpaksa dipindahkan.

Agensi Meteorologi Jepun mengekalkan amaran cuaca khas bagi tiga wilayah di pulau Honshu dan menggesa orang ramai berjaga-jaga dengan kejadian tanah runtuh, peningkatan paras air sungai serta angin kencang.

Agensi tersebut turut menyifatkan hujan lebat ini antara yang terburuk dalam sejarah negara itu.

Rakaman video dari helikopter menunjukkan ramai mangsa banjir di Kurashiki berada di atas bumbung rumah bagi meminta bantuan pasukan penyelamat.

Di Motoyama, sebuah bandar di pulau Shikoku, yang terletak 600 km dari ibu negara Tokyo, kira-kira 583 mm hujan jatuh antara Jumaat dan pagi Sabtu, tambah agensi itu.

Walaupun keadaan cuaca semakin reda di kawasan barat dan timur Jepun, agensi tersebut menjangkakan hujan lebat akan berterusan sehingga hari Ahad.

Antara mangsa yang terkorban termasuk seorang lelaki yang jatuh daripada jambatan di bandar Hiroshima, dan seorang lagi lelaki berusia 77 tahun di Takashima, 56 km barat Kyoto, yang hanyut dalam terusan ketika mencuba mengalihkan sisa runtuhan, lapor NHK.

Empat orang di wilayah Ehime, Hiroshima dan Yamaguchi kini berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan yang dialami mereka selepas terperangkap dalam kejadian tanah runtuh, tambah laporan tersebut.

Sehingga pagi Sabtu, lebih daripada 1.6 juta penduduk telah diarah berpindah manakala 3.1 juta yang lain dinasihiti untuk berbuat demikian dalam masa terdekat, kata Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana Jepun.

Setiausaha Kanan Kabinet, Yoshihide Suga berkata kira-kira 48,000 anggota polis, bomba dan tentera dikerah untuk membantu mangsa.

Keadaan cuaca buruk ini turut menjejaskan beberapa industri di negara itu.

Beberapa kilang pembuatan kereta terpaksa menghentikan operasi mereka susulan hujan lebat dan keadaan banjir yang menjejaskan rantaian bekalan bahan mentah serta berisiko mengancam keselamatan pekerja, lapor agensi berita Kyodo.

Mitsubishi Motors Corp menghentikan operasi di salah satu kilang mereka kerana kesukaran mendapat bahan mentah, tambah Kyodo.

Mazda Corp juga telah menghentikan pengeluaran di dua buah kilang supaya pekerja mereka tidak perlu keluar dari rumah mereka dalam keadaan yang merbahaya ini.

Advertisements