PARIT BUNTAR: Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan para ulama dan cendekiawan Islam termasuk pentadbir agama Islam dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklum balas mengenai hal ehwal Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata antara yang akan dibincangkan ialah berkaitan institusi pentadbiran Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya bagi jaminan kepada rakyat bahawa pentadbiran Islam betul-betul diberikan satu input yang baik melalui satu badan yang bebas supaya tidak dilihat mempunyai kepentingan politik.

“Raja-Raja Melayu dan pihak istana akan menyokong usaha baik ini kerana mereka merupakan pelindung kepada agama Islam bahkan Majlis Raja-Raja mahu melihat pentadbiran Islam lebih baik dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Anggota Parlimen Parit dan ADUN Titi Serong di Dataran Kerian Permai di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Mujahid meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan viral kononnya kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota haji kerana kerajaan Malaysia mahu menarik balik tentera Malaysia yang beroperasi di bawah gabungan yang diterajui Arab Saudi dalam peperangan di Yaman.

“Hubungan kita dengan Arab Saudi amat baik kerana mereka sentiasa menjadikan Malaysia keutamaan berbanding negara lain,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, Mujahid menafikan sekeras-kerasnya pihaknya cuba mengiktiraf kewujudan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender(LGBT) di negara ini apabila dilaporkan mengeluarkan kenyataan tidak akan mengambil tindakan terhadap golongan itu.

“Sebagai rakyat Malaysia, dari sudut hak asasi manusia, hak mereka tidak disakiti dan mendapat keadilan sudah tentu akan dijamin berdasarkan Artikel 8 Perlembagaan Malaysia iaitu setiap warganegara wajib mendapat keadilan tanpa menerima sebarang diskriminasi,” jelasnya.

Advertisements