KAJANG: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau akan terus mempertahankan jawatan yang dipegangnya ketika ini menjelang pemilihan parti yang dijadualkan akhir bulan hadapan.

Namun, ujar Timbalan Perdana Menteri itu, keputusan tersebut masih tertakluk kepada perbincangan dengan suaminya, yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya penyandangnya dan akan ada pemilihan parti. Setakat ini belum ada keputusan sama ada saya harus bertanding atau tidak, jadi, saya rasa saya akan bertanding.

“Tetapi ia terpulang kepada mesyuarat pemimpin tertinggi, suami saya ialah Ketua Umum, lebih tinggi kedudukannya dari presiden. Jadi, kita kena bincang,” katanya ketika ditemui media sewaktu Majlis Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut menafikan wujudnya dua kem atau puak dalam kalangan ahli parti itu melibatkan beliau dan suaminya bagi pemilihan parti tersebut.

“Mana ada kem-kem, tak ada… kami satu kem,” katanya.

Baru-baru ini Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution dilaporkan mendakwa wujud dua puak dalam parti dengan satu pihak mahu Dr Wan Azizah dikekalkan sebagai presiden manakala satu lagi mahu beliau berundur dan memberi laluan kepada Anwar. 

Berhubung kedudukan speaker Dewan Rakyat, Dr Wan Azizah berkata satu mesyuarat peringkat tertinggi Pakatan Harapan akan diadakan dalam masa terdekat bagi memutuskan senarai akhir calon untuk dicadangkan kepada Parlimen.

Katanya, senarai awal nama calon daripada PH telah diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk diteliti.

“Kita memang dah mesyuarat hari itu dan akan buat perjumpaan antara PH pada peringkat tertinggi. Selepas itu, kita akan buat keputusan kerana diperlukan nama cadangan untuk speaker sebelum pembukaan Parlimen dalam masa seminggu lagi,” tambahnya.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 17 Julai ini.

Advertisements