PUTRAJAYA: Keadaan kesihatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin, semakin baik dan stabil kini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“(Mohamed) Hanipa yang rebah pagi tadi, berada di hospital dan keadaannya okey (stabil),” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya media mengenai perkembangan terkini keadaan kesihatan Mohamed Hanipa, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR), di sini, hari ini.

Awal pagi tadi, Mohamed Hanipa rebah dari pentas ketika perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Bangunan Perdana Putra.

Hadirin pada perhimpunan itu terkejut apabila beliau tiba-tiba jatuh dari pentas ketika Dr Mahathir sedang berucap.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berdiri sebaris dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, terus meluru ke sisi Mohamed Hanipa untuk memberikan bantuan.

Dr Wan Azizah terus memberi rawatan awal dengan memusingkan badan Mohamed Hanipa ke kedudukan lebih baik.

Sementara itu, pasukan paramedik terus bergegas memberikan rawatan dan mengangkat beliau ke pengusung, sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya.

Dr Mahathir yang terkejut dengan kejadian itu berhenti berucap untuk seketika.

Pada 2016, Mohamed Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang pernah menjalani pembedahan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Jabatan Neurologi Hospital Kuala Lumpur akibat serangan angin ahmar.

Selain itu, beliau pernah pengsan secara tiba-tiba ketika sidang Dewan Rakyat.

Advertisements