KUALA LUMPUR: Pengerusi Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam mempertahankan dakwaan bahawa akaun cucu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Adam Razak turut dibekukan meskipun dinafikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lokman turut menyelar tindakan tersebut, menunjukkan dokumen pengesahan bahawa akaun tersebut dibekukan kepada pihak media.

“Sepatutnya SPRM jalankan siasatan terperinci dan kenalpasti seseorang yang terlibat sebelum beku akaun,”katanya.

Beliau mendakwa selain akaun cucu Najib, tiga akaun anak Najib turut dibekukan iaitu akaun milik anak sulung Najib iaitu, Norlisa, Nooryana Najwa dan Norashman.

“Norlisa menghidap kanser tahap empat. Tindakan beku akaun bank beliau tidak wajar dan membebankan ketika beliau perlu menjalani rawatan kimoterapi dan sebagainya,”katanya. 

Terdahulu SPRM menafikan dakwaan pihaknya membekukan akaun cucu bekas perdana menteri itu.

Penafian itu dibuat Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

“Akaun cucu Najib tidak pernah dibekukan,” katanya.

Advertisements