KAJANG – Bayi lelaki yang baru dilahirkan dan dicampak dari tingkat dua sebuah bangunan di Jalan Hentian 4, Hentian Kajang, di sini, 24 Jun lalu, meninggal dunia, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata pihaknya dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya di Hospital Kajang mengenai kematian bayi berkenaan pada jam 4.53 pagi.

“Akibat kecederaan parah dialami bayi berkenaan, dia disahkan meninggal dunia pada jam 4.53 pagi ketika dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital terbabit.

“Suspek yang juga ibu kandung mangsa berusia 22 tahun sudah dituduh di Mahkamah Seksyen Kajang pada 6 Julai lalu mengikut Seksyen 307 dan 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap bayi dan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi yang masih hidup.

“Bagaimanapun, kami akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi membuat pindaan tuduhan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas bayi berkenaan meninggal dunia sehari selepas dia dituduh di mahkamah,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

MNT melaporkan seorang bayi lelaki dicampak oleh pekerja wanita warga Indonesia dari tingkap bilik air sebuah rumah di tingkat dua sebuah bangunan di Jalan Hentian 4, Hentian Kajang, di sini, 24 Julai lalu.

Bayi berkenaan terjatuh mengenai bumbung sebuah restoran sebelum ditemui di atas jalan berhampiran besi konkrit di belakang restoran berkenaan kira-kira jam 5 petang.

Advertisements