SINGAPURA: Seorang bekas pengawai tertinggi Goldman Sachs Group Inc. sedang berunding dengan pendakwa Amerika Syarikat (AS) berhubung kemungkinan mengaku bersalah di atas pertuduhan mencuri berbilion ringgit daripada dana pelaburan Malaysia, lapor Wall Street Journal (WSJ).

Menurut laporan itu, rundingan tersebut membawa siasatan berkenaan lebih dekat dengan Goldman yang memperoleh berbilion ringgit untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Rundingan itu berlaku selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengasaskan dana itu dan tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu didakwa menyalahgunakan kuasa dan pecah amanah berkaitan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut dan secara konsisten menafikan sebarang salah laku berkaitan 1MDB.

Tim Leissner yang juga bekas pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara belum didakwa.

Dia sedang mencari persetujuan dengan pendakwa yang akan melibatkan kerjasamanya dengan kerajaan itu dalam siasatan terhadap 1MDB dan Goldman, lapor WSJ.

Jurucakap Jabatan Kehakiman AS (DoJ) enggan mengulas mengenai perkara itu.

Pada masa sama, seorang peguam Leissner turut mengambil pendekatan kunci mulut.

Seorang jurucakap Goldman Sachs memberitahu Reuters:”Sejak kami menggantung Leissner, kami mendapati beberapa aktiviti yang dilakukannya yang sengaja disembunyikan dari firma itu yang mendapat perhatian pihak berkuasa untuk menerima kerjasama penuh kami.”

Pada bulan lalu, Reuters melaporkan Malaysia sedang mempertimbangkan untuk meminta DoJ berurusan dengan Goldman Sachs supaya mengembalikan hampir AS$600 juta dalam bentuk fi diperolehinya daripada bon yang diterbitkan untuk firma dana itu.

Goldman memperoleh hampir AS$6.5 bilion dalam jualan tiga bon antara 2012 dan 2013 untuk 1MDB.

Advertisements