KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak memberkas ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Taek Low, selepas mendapat maklum balas dari pihak berkuasa Macau.

Pada masa ini, PDRM sudah menghantar permohonan kepada tujuh negara dalam mendapatkan kerjasama bagi memburu Jho Low untuk dibawa pulang ke negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata sebarang tindakan ke atas Jho Low di negara terbabit hanya akan dapat dilakukan selepas PDRM memperoleh maklum balas atau kerjasama dari pihak berkuasa Macau.

“Kami (PDRM) sebelum ini sudah menghantar permohonan untuk mendapatkan maklumat dalam usaha menahan Jho Low kepada tujuh negara termasuk China selain notis merah melalui Polis Antarabangsa (Interpol).

“Daripada semua permohonan berkenaan hanya pihak berkuasa Hong Kong yang memberikan kerjasama dengan memberikan butiran semasa Jho Low berada di Hong Kong minggu lalu,” katanya dalam sidang media di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, apabila pegawai PDRM tiba di Hong Kong, Jho Low dipercayai sudah melarikan diri ke Macau dengan menaiki feri.

“Sehubungan itu, sebarang tindakan bakal diambil selepas kita menerima kebenaran dan maklumat untuk bertindak memberkasnya di Macau.

“Malah, pihak Interpol di negara berkenaan juga boleh memberkas Jho Low dan menyerahkannya kepada PDRM sekiranya mereka mempunyai maklumat tentang lokasi kedudukan Jho Low pada masa ini,” katanya.

Terdahulu, Tan Sri Fuzi Harun, merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, di sini, hari ini.

Advertisements