SHAH ALAM: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan berdepan dengan satu lagi pertuduhan baharu selepas beliau didakwa keluar negara secara haram.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, Jamal yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh akan didakwa mengikut Seksyen 51 Akta Imigresen 1953/1963.

Menurutnya, pertuduhan baharu itu adalah susulan laporan polis dilakukan pihaknya sebaik sahaja Jamal diekstradisi ke negara ini pada 5 Julai lalu.

“Untuk makluman susulan ekstradisi Jamal ke tanah air, satu laporan polis juga dibuat atas kesalahan keluar daripada negara ini tanpa mengikut jalan yang tidak sah.

“Kita melihat kesalahan lain oleh Jamal di bawah Seksyen 51 Akta Imigresen 1953/1963. Ini akan menambah lagi kepada kes-kes yang kita buka sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Mazlan berkata, tarikh sebutan kes seterusnya ke atas Jamal akan dibuat pada 31 Julai ini di mahkamah.

Jamal, 48 tahun, sebelum ini dipercayai menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor pada 25 Mei lalu.

MNT melaporkan Jamal ditahan ketika sedang menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta Selatan.

Menurut sumber keselamatan, Jamal bersembunyi di beberapa lokasi sebelum dia ditangkap pada jam 6.15 petang (waktu Malaysia) pada 2 Julai lalu oleh Polis Negara Republik Indonesia (POLRI).

Setakat ini, Jamal berdepan empat pertuduhan iaitu dua di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dan satu bagi kes Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegusaran awam serta Seksyen 224 kerana melarikan diri dalam tahanan yang sah.

Advertisements