KUANTAN: Punca kematian kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dipercayai didera oleh ibu kandungnya di Taman Permatang Badak Maju, Permatang Badak di sini, semalam adalah disebabkan oleh pendarahan di bahagian esofagus.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner Othman Nayan berkata, hasil bedah siasat pada pukul 10 pagi tadi mendapati keadaan itu berkemungkinan oleh faktor salur darah pecah atau berlaku ulser pada esofagus.

“Ini berkemungkinan oleh stress atau force trauma, selain terdapat banyak kesan parut lama dan luka baru di bahagian kepala dan seluruh anggota badan mangsa yang berkemungkinan adalah kerana didera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

“Mangsa yang merupakan pelajar tahun 4 dari Sekolah Chung Ching Tanah Putih merupakan anak pertama dari dua beradik lelaki. Yang kedua berumur lapan tahun,” katanya.

Othman berkata bapa mangsa yang berumur 30 tahun bekerja sambilan sebagai penjual kereta terpakai selain menjadi pemandu Grab, manakala ibu mangsa mengambil upah menjaga tiga orang kanak-kanak di rumahnya.

Tambahnya, ibu dan bapa mangsa kini ditahan reman sehingga 16 Julai bermula semalam dan kes ini disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Jenazah kanak-kanak malang itu dituntut oleh keluarganya pada jam 3.40 petang tadi untuk dikebumikan. 

Advertisements