PUTRAJAYA: Nama Speaker Dewan Rakyat akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini atau esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang bermesyuarat malam tadi sudah memilih individu yang akan menyandang jawatan berkenaan.

“Perdana Menteri akan keluarkan (umum) nama calon Speaker yang terpilih. Mungkin hari ini atau esok, Perdana Menteri akan menamakannya,” katanya.

Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga bercakap pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di sini, hari ini.

PH sebelum ini dilaporkan sudah menyenarai pendek nama calon bagi jawatan itu.

Beberapa nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan berkenaan termasuk bekas menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh yang dikatakan calon pilihan DAP.

Advertisements