KUALA LUMPUR: Pelawak, Tauke berkongsi khabar gembira isterinya, Nadia Mohd Effendi, hamil empat bulan.

Tauke atau nama sebenarnya, Zamratul Zamri Zakaria mahu peminat berdoa kesihatan isterinya baik sepanjang tempoh mengandung.

“Saya belum sempat berkongsi dengan sesiapa mengenai perkara ini. Namun, saya meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buat saya dan isteri,” katanya.

Mengenai proses kehamilan isteri, Tauke berkata, setakat ini, Nadia tidak mengidam makanan pelik.

Namun, akui pelawak ini, dia cuba memenuhi permintaan isteri sebaik mungkin.

“Buat masa ini, isteri tidak meminta makanan yang bukan-bukan. Namun, saya penuhi semua yang diminta kerana takut itu yang dihajati bayi dalam kandungan.

“Selain itu, ramai juga yang bertanya mengenai tubuh isteri yang kurus. Selera makan isteri sebenarnya normal, mungkin genetiknya memang begitu,” katanya.

Selepas lima tahun menduda, Tauke mendirikan rumah tangga kali keempat dengan Nadia pada 9 Disember 2017.

Semalam, Tauke hadir pada sidang media musim baharu Super Spontan Xtravaganza di sebuah hotel di Putrajaya.

Advertisements