MADINAH: Kaunter pendaftaran kad sim prabayar adalah perkhidmatan terbaru disediakan pasukan petugas Tabung Haji (TH) di sini, yang kini sudah 80 peratus bersedia menerima kehadiran jemaah haji Malaysia dengan kumpulan pertama dijadual tiba Sabtu ini.

Pengarah Operasi TH di sini, Affandi Abdullah, berkata kemudahan itu disediakan pihaknya hasil kerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan, STC, untuk memberi keselesaan kepada jemaah haji Malaysia.

Menurutnya, kaunter jualan kad sim prabayar itu akan dibuka di sembilan bangunan penginapan jemaah haji Malaysia yang mampu memuatkan 9,661 orang pada satu masa.

“Untuk mendaftar, jemaah hanya perlu membawa kad pengenalan diri haji dan tidak perlu membawa pasport. Dengan kemudahan ini, jemaah tidak perlu ke premis syarikat telekomunikasi dan beratur panjang untuk membeli kad sim prabayar,” katanya dalam pertemuan dengan media Malaysia di Pejabat Operasi TH di sini, hari ini.

Affandi berkata, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 483 orang dijadual tiba dengan pesawat Airbus A380 di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada jam 10 pagi, Sabtu ini.

Katanya, 45 peratus daripada keseluruhan 30,200 jemaah haji dari Malaysia akan masuk ke Madinah terlebih dulu tahun ini sebelum bergerak ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah haji.

“Jemaah akan berada di Madinah selama lapan hari sebelum berangkat ke Makkah. Untuk menguruskan mereka, seramai 187 daripada keseluruhan 600 petugas haji tahun ini ditempatkan di Madinah,” katanya yang juga Naib Konsul ibu pejabat TH di Jeddah.

Beliau berkata, seperti sebelum ini, kemudahan lain yang disediakan TH di bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di sini ialah rawatan kesihatan, kaunter pengeluaran wang, maklumat ibadah, sesi kaunseling dan perkhidmatan penghantaran bagasi.

Advertisements