Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata Jho Low dipercayai memiliki pasport dari St Kitts and Nevis.

“St Kitts and Nevis, itu pasport lain yang dimilikinya, kami percaya dia menggunakan pasport terbabit untuk memudahkan pergerakannya. Setakat itu yang boleh saya katakan,” katanya ketika ditemui di Menara Ilham di sini, hari ini.

“Saya cuba mencari maklumat mengenai tempat itu dan ia sebenarnya sebuah pulau mempunyai pemandangan yang cantik,” katanya.

St Kitts and Nevis ialah negara kecil di kepulauan Caribbean dan dikenali sebagai lokasi membeli pasport di mana dengan bayaran AS$250,000 (RM1 juta), warga asing boleh membeli kewarganegaraan tanpa perlu tinggal di negara berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun semalam mengesahkan Jho Low sudah meninggalkan Macau namun tidak tahu ke mana destinasi yang dituju.

Advertisements