PUTRAJAYA: Anggota Kabinet dan ahli Parlimen kerajaan akan diwajibkan membuat pengisytiharan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas pelaksanaan kod etika baharu yang kini dalam kajian disiapkan.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, perisytiharan aset hanya dibuat kepada Perdana Menteri saja.

“Kod etika ini kini dalam kajian Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), bagaimanapun kita jangka kertas cadangan kod ini dapat disiapkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Kami sudah minta SPRM untuk memuktamadkan deraf kod ini bagi dikemukakan kepada Kabinet.

Pekeliling rasmi untuk Kod etika ini mesti diluluskan oleh Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Aidilfitri Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada maklumat pengisytiharan aset itu nanti boleh diakses masyarakat umum, Abu Kassim berkata, perkara itu akan ditentukan selepas Kabinet mengkaji dan meluluskan kod etika berkenaan.

Mengenai pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP), Abu Kassim berkata, pelan itu akan merangkumi tempoh selama lima tahun.

“Pelan ini akan dirangka kerajaan untuk pelaksanaan dalam tempoh lima tahun dan ketika ini proses pengumpulan data sedang dilakukan.

“Antara ciri dan inisiatif pelan berkenaan termasuk 21 elemen menangani rasuah yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Selain itu, pelan terbabit juga akan mengikut syor yang diletakkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC),” katanya.

Advertisements