MARANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun putus tangan kiri selepas pakaian dipakainya terbelit pada tayar motosikal yang sedang bergerak.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam tadi di Kampung Binjai Bongkok, di sini, mangsa dikatakan memakai baju sejuk bersaiz agak besar, menyebabkan bahagian baju itu tersangkut pada tayar motosikal berkenaan.

Sumber berkata, kejadian menyebabkan tangan mangsa tertarik ke dalam rim tayar motosikal sebelum dia terjatuh daripada motosikal ditunggangi seorang ahli keluarganya sehingga tangannya terputus.

Kanak-kanak berkenaan kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu oleh keluarganya untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun sumber keluarga mangsa mengesahkan tangan kanak-kanak berkenaan gagal disambung dalam pembedahan yang selesai kira-kira jam 6 pagi tadi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan tiada laporan diterima setakat ini berhubung kejadian.

Advertisements