PUTRAJAYA: Tempoh reman bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak disambung dua hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Perintah sambungan reman terhadap individu bergelar Datuk berusia 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Dia yang turut berkhidmat kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum ini direman empat hari bermula Selasa lalu dan tamat hari ini.

Sebelum ini Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani, mengesahkan mengenai penahanan individu berkenaan pada Isnin lalu.

“Dia ditahan selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menerima wang dari sebuah syarikat yang dianugerahkan untuk memasang panel solar di sekolah di Sarawak,” katanya.

Berdasarkan maklumat sumber SPRM, bekas pegawai khas itu didakwa meminta wang daripada sebuah syarikat berpangkalan di Bintulu.

“Kami difahamkan dia meminta wang dengan jumlah yang besar,” katanya namun tidak mendedahkan jumlah berkenaan yang dipercayai bernilai jutaan ringgit.

Sebelum ini Sarawak Report, mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

Laporan berkenaan turut mendakwa bahawa kakitangan kementerian yang menyatakan keprihatinan berhubung proses penganugerahan kontrak terbabit ditukarkan, manakala laporan kepada polis dan SPRM langsung tidak dihiraukan.

Advertisements