KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan di Taman Maluri, Cheras di sini gempar apabila sekurang-kurangnya 26 das tembakan dilepaskan di luar premis itu malam Jumaat, insiden tembakan kedua membabitkan pusat hiburan di sini susulan insiden pertama di Bukit Bintang pada 24 Jun lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya menemui 26 kelongsong peluru kaliber 5.56 milimeter (mm) di tempat kejadian selepas menerima laporan mengenai insiden itu, kira-kira 9.30 malam.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian turut menemui 18 helaian kertas bersaiz A4 yang memaparkan gambar dua lelaki dipercayai berbangsa Cina. Bagaimanapun tiada mangsa yang tercedera dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Beliau berkata kesemua kertas terbabit ditemui pada jarak kira-kira 22 meter dari lokasi suspek melepaskan tembakan.

Katanya polis sedang menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan kejadian.

“Polis juga menyiasat dengan terperinci sama ada kes tembakan ini mempunyai kaitan dengan satu lagi kejadian tembak di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi ASP Mutazlim Hamdan di talian 03-92050222 atau 019-7842754, Insp Mohamad Syafiq Mohamad Rusdin di talian 03-92050222 atau 018-2404072 dan Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584.

Pada 24 Jun lepas, orang ramai dan pelanggan di sekitar sebuah pusat hiburan bertaraf empat bintang gempar apabila 25 das tembakan dilepaskan dalam satu kejadian di Bukit Bintang di sini pada kira-kira 10.50 malam.

Difahamkan, tembakan itu dilepaskan mungkin sebagai tanda amaran kerana perselisihan faham berkaitan perniagaan.

 

Advertisements