PETALING JAYA: Ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low mungkin menggunakan identiti baharu untuk mengelak ditahan selepas kapal layar mewahnya, Equanimity dirampas.

Polis dan Jabatan Imigresen Malaysia dan Singapura yang ditugaskan untuk mengesan suspek terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) percaya Jho Low mungkin melakukan pembedahan rekonstruksi wajah.

“Kami percaya dia mungkin mengubah bentuk mukanya dan menggunakan nama ganti,” kata sumber.

Pihak berkuasa juga percaya Jho Low menggunakan ‘perkhidmatan butler’ yang disediakan bagi VIP dan selebriti untuk membantunya keluar pintu masuk Imigresen.

“Ini menjelaskan mengapa walaupun Notis Merah dikeluarkan oleh Interpol, Jho Low keluar masuk ke beberapa negara Asia Tenggara tanpa sebarang masalah,” kata sumber.

Kesukaran menangkapnya, kata sumber itu, mendorong pihak berkuasa kedua-dua negara mendapatkan butiran perjalanan Jho Low dan gambar terbaharunya, diambil di pusat pemeriksaan Imigresen, untuk memberi imej lebih jelas mengenai saksi utama siasatan kes 1MDB.

“Penyiasat tidak mempunyai gambar terkini Jho Low. Kebanyakan gambar yang ada dipercayai telah diambil tiga atau empat tahun lalu,” kata sumber itu.

Sumber itu juga memberitahu sejak Equanimity dirampas pihak berkuasa Indonesia, Jho Low dilihat berada di Phuket, Macau, Hong Kong, Taiwan dan Shanghai.

“Walaupun Notis Merah dikeluarkan, ahli perniagaan yang dikehendaki itu berjaya menghilangkan diri dari pihak berkuasa,” kata sumber.

Namun, dari maklumat awal, penyiasat percaya Jho Low mengubah penampilannya dan keluar masuk dari negara-negara ini menggunakan banyak pasport.

Sumber berkata selain pasport Saint Kitts dan Nevis yang digunakan Jho Low, pihak berkuasa percaya dia turut menggunakan pasport lain.

Menurut sumber itu, Jho Low dan keluarganya dikatakan mempunyai harta dan aset kewangan di Australia, New Zealand dan Thailand.

“Dia juga mempunyai hubungan baik dengan negara Emiriyah Arab Bersatu dan beberapa negara timur tengah yang lain,” kata sumber itu.

Pakar bedah plastik yang berpangkalan di Kuala Lumpur berkata dengan wang dimiliki Jho Low, pembedahan mengubah penampilannya hanyalah perubahan kecil untuk dirinya.

“Untuk mengubah wajah bulat ke bentuk bujur atau berbentuk berlian hanya memerlukan dia membayar sebanyak AS$10,000 (RM40,000) dan AS$20,000 (RM80,000).

“Tempoh pemulihan adalah kira-kira dua minggu tetapi pesakit akan mengalami bengkak di wajah selama sebulan,” katanya.

Doktor itu berkata pakar bedah plastik juga boleh mengubah kelopak mata dan bentuk hidung dan mulut dalam masa beberapa jam sahaja.

“Terdapat banyak klinik terkenal di Thailand di mana Jho Low boleh melakukan perkara ini secara profesional,” katanya.

 

Advertisements