Syed Saddiq berkata, negara jiran itu akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang mencetuskan kekecohan kerana mereka mahukan sukan diraikan dengan penuh semangat.

“Pak Imam Nahrawi seorang yang sangat peramah, banyak perkara dibincangkan sehinggalah dalam penerbangan ke Palembang.

Untuk rekod, malam kelmarin, kejayaan skuad bawah 19 tahun negara (B-19) melangkah ke final AFF 2018 dicemari insiden keganasan penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati dengan kekalahan pada pertemuan separuh akhir di Stadium Gelora Delta Sidoarjo selepas tewas 3-2 menerusi sepakan penalti.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menjelaskan menerusi kenyataan media dikeluarkan pihak Indonesia, Imam menegaskan pihak penganjur (panpel) harus bertindak profesional.

“Saya harap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) harus bertindak tegas, profesional, memberikan jaminan keamanan, keselamatan kepada siapa pun. Jaminan ini tidak cuma berkaca dari kasus di Sidorajo, namun semuanya.

“Di Asian Games (Sukan Asia), di semua perlawanan, panpel harus memberikan serta menjamin rasa aman semuanya. Saya minta panpel wajib memberikan rasa aman kepada siapa pun, tidak hanya kepada atlet, kepada supporter (penyokong) juga. Harus saling menjaga,” kata Syed Saddiq yang memetik kenyataan Nahrawi.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq turut memaklumkan yang Nahrawi menyampaikan salam kepada semua peminat bola sepak di negara ini selain menegaskan kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat demi pembangunan sukan dan belia di rantau Asia Tenggara.

“Beliau juga sampaikan salam kepada semua peminat bola sepak Malaysia dan mengambil kesempatan memohon maaf atas insiden yang berlaku dan mahukan sukan diraikan bersama dengan penuh semangat.Saya dan Pak Imam bukan saja berkongsi kementerian yang sama malah berkongsi idola yang sama, Datuk Siti Nurhaliza,” katanya.

Dalam jadual Syed Saddiq ke Indonesia, beliau akan menemui Presiden Jokowi dan selepas itu terus ke Surabaya bagi memberikan sokongan kepada pasukan bola sepak bawah 19 tahun.

Syed Saddiq dalam masa sama turut memaklumkan beliau sudah menghubungi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia namun siaran langsung tidak dapat dilakukan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), tetapi aksi boleh ditonton di Facebook Live menerusi talian http:www.indosiar.com/live.

Advertisements