SEPANG: Ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dipercayai menggunakan nama yang sama pada pasport negara Saint Kitts and Nevis yang dimilikinya, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

“Kita dapati beliau masih gunakan nama yang sama (Low Taek Jho) pada pasport itu,” katanya.

Katanya adalah menjadi satu kesalahan sekiranya seorang warganegara Malaysia memiliki dua pasport.

“Di negara ini kita tidak mengamalkan dua kerakyatan , setiap rakyat mesti memiliki hanya satu kerakyatan dan satu pasport Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau proses prapelepasan jemaah haji oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa Arab Saudi di sini malam Sabtu.

Katanya pihaknya terus menjalinkan kerjasama dengan dengan pihak berkuasa imigresen di seluruh dunia selain penglibatan pihak polis, interpol dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) dalam menjejaki Jho Low.

Beliau berkata pasport Jho Low juga telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun atas permintaan SPRM berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1MDB.

St Kitts and Nevis adalah sebuah negara terdiri daripada dua pulau yang terletak di antara Lautan Atlantik dan Laut Caribbean, di Amerika Tengah.

Carian di beberapa laman sesawang mendapati individu yang berminat boleh memohon mendapatkan pasport dan kerakyatan dengan melabur di dalam negara itu, seperti di dalam sektor hartanah yang diluluskan kerajaan.

 

Advertisements