KUALA LUMPUR: Pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, boleh dicabar di Mahkamah Persekutuan kerana wujud ‘locus standi’ untuk berbuat demikian.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pembangkang mempunyai maklumat yang boleh dipercayai pemilihan Mohamad Ariff itu tidak mengikut Peraturan 4(1) Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, beliau mempunyai huraian dan asas surat cara pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu itu tidak diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada atau sebelum 2 Julai lalu.

“Ia untuk mengetahui tafsiran peruntukan itu sama ada ia bercanggah dengan Perlembagaan atau tidak.

“Sesiapa saja boleh cabar, tidak semestinya PAS. Orang awam dan rakyat boleh cabar kerana mereka juga pihak berkepentingan. Saya rasa ada ‘locus standi’,” katanya.

Terdahulu, beliau dan majoriti Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bertindak keluar dewan bagi membantah pelantikan Mohamad Ariff yang disifatkan tidak mengikut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Pembangkang mendakwa kerajaan gagal menyerahkan notis mencalonkan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua dalam tempoh 14 hari sebelum Dewan Rakyat bersidang.

Dewan Rakyat Penggal ke-14 mula bersidang hari ini dengan didahului majlis mengangkat sumpah Ahli Parlimen yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum diikuti barisan Kabinet dan Ahli Palimen lain.

Advertisements