Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Jahya melalui ciapan di Twitternya memaklumkan perkara itu dinyatakan sendiri oleh Zakir Naik kepadanya.Namun, Zakir Naik meletakkan beberapa syarat termasuk sesi debat itu mesti diadakan secara terbuka.

 

“Dr Zakir Naik beritahu saya beliau setuju berdebat dengan YB Ramasamy Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang.

“Dengan syarat, mendapat izin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, debat terbuka di tempat awam seperti stadium, disiarkan secara langsung di TV dan setiap seorang diberikan masa sejam untuk berhujah serta 30 minit untuk soalan,” tulisnya.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan agar Zakir dan Ramasamy berdebat secara terbuka bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar.

Ini susulan cadangan Ramasamy supaya Zakir dihantar pulang ke India supaya hubungan Malaysia dengan negara itu tidak terjejas.

Semalam, Ramasamy dilaporkan juga meletakkan syarat untuknya berdebat dengan Zakir seperti yang dicadangkan Dr Maza namun pendakwah dari India itu perlu pulang ke negaranya terlebih dahulu bagi menghadapi dakwaan dan membersihkan namanya.

Dr Maza juga mendesak Ramasamy menjawab dakwaan dikaitkan dengan kumpulan militan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) malah beliau turut berkongsi gambar ADUN Perai itu yang seolah-olah memberi penghormatan kepada senapang Kalashnikov atau AK-47.

Namun beliau menafikan menyokong keganasan sebaliknya berkata gambar itu diambil pada 2015 dalam satu majlis anjuran sebuah NGO bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam konflik etnik Sri Lanka.

Advertisements