SUBANG JAYA: PROTON Holdings Bhd (PROTON) menjangkakan harga kenderaan jenama tempatan itu akan meningkat selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah peningkatan harga dan menjelaskan bahawa pihaknya hanya akan berpandukan kepada dasar nasional itu.

“Secara umumnya, harga (kenderaan PROTON) akan meningkat kerana baru-baru ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan bahawa SST adalah pada kadar 10 peratus bagi jualan.

“Ini adalah dasar nasional, kami hanya mengikutnya. Namun, bagi strategi (PROTON), kami sedang berusaha menambah baik jualan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Pelepasan 1 Tank Adventure, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman SST yang akan diperkenalkan semula pada 1 September depan yang ditetapkan pada kadar 10 peratus bagi jualan dan enam peratus untuk perkhidmatan.

Rang Undang-undang (RUU) SST dijangka dibentangkan di Parlimen Ogos ini bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Sementara itu, ditanya sekiranya PROTON bercadang untuk mengeksport kenderaannya di luar negara, Li berkata, keutamaan pada masa kini adalah meningkatkan jualan di peringkat domestik.

“Pada Jun, PROTON mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 50 peratus berbanding Mei dan kami jangka ini akan terus meningkat pada Julai.

“PROTON sememangnya harus mengeksport ke pasaran antarabangsa. Pada Julai, kami membawa masuk sebanyak 453 unit di Asia Barat dan akan mengeksport ke negara lain pada Ogos dan September ini.

“Untuk tahun ini, jumlah eksport dijangka empat hingga lima kali ganda lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Advertisements