PETALING JAYA: Tan Sri M. Kayveas (gambar) iaitu Presiden MyPPP yang dipertikaikan, akan mengambil tindakan undang-undang ke atas tuduhan yang mendakwa beliau menjual gelaran kebesaran dan membeli hartanah di luar kemampuannya.

“Presiden akan mengambil beberapa tindakan undang-undang bagi memastikan keadilan ditegakkan,” kata setiausaha agung Datuk Roger Ly dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Portal berita dalam talian, The Malaysian Insight melaporkan bahawa Kayveas didakwa menyalahgunakan kuasa untuk membeli hartanah di luar kemampuannya dan menjual gelaran seperti “Tan Sri”.

Roger berkata, sejak Kayveas mengumumkan pada 17 April tentang kemungkinan beliau akan membawa keluar MyPPP daripada Barisan Nasional (BN), pelbagai isu timbul menentang presiden tersebut.

Beliau turut kesal berhubung kebocoran maklumat peribadi dan data yang tular di laman sosial sambil menambah akan mengenakan tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkannya.

“Walaupun majlis tertingi (MyPPP) mendapat kebenaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan mengesahkan Kayveas sebagai presiden, beberapa anggota parti itu mengamalkan politik dendam dan tidak bermoral,” katanya.

Beliau merujuk kepada kumpulan yang mempertikaikan kedudukan Kayveas sebagai presiden parti.

Tambahnya, Kayveas akan mengambil tindakan bagi memastikan amalan politik tidak sihat dihentikan.

“Saya sudah melakukan protes dulu, namun sekarang adalah masanya untuk menghukum mereka yang korup, menghancurkan, berdendam dan mengamalkan gangsterisme,” kata Roger yang memetik kenyataan Kayveas.

Kayveas sebelum ini dibuang daripada parti dan Datuk Seri Maglin D’Cruz dianggap menyandang jawatan sebagai pemangku presiden MyPPP.

Maglin kekal menyatakan bahawa Kayveas tidak lagi anggota MyPPP pada 25 April dan pemimpin itu telah mencetuskan salah faham kepada anggota parti dan orang awam bahawa beliau masih bergelar presiden.

Advertisements