KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) diberkas polis selepas menyamun dan menikam seorang peniaga durian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata suspek ditahan di hadapan sebuah premis kereta terpakai, di pusat bandar utara, di sini, pada jam 7.58 pagi tadi.

Katanya, mangsa lelaki warga tempatan berusia 23 tahun ditikam beberapa kali di belakang badan dan bahu oleh suspek berusia 21 tahun.

“Kejadian samun dan serangan untuk merampas beg mangsa mengandungi wang tunai hasil jualan durian disedari anggota polis dan orang awam.

“Susulan itu, polis menangkap suspek yang cuba melarikan diri. Pemeriksaan terhadap suspek menemui satu pemutar skru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa kini berada dalam keadaan lemah.

“Pihak hospital juga memaklumkan terdapat lima kesan luka dan tikaman di badan mangsa, dua daripadanya di belakang bahu kanan manakala masing-masing satu di belakang bahu kiri, bawah dagu dan pinggang. Luka tikaman kira-kira tiga sentimeter.

“Dua lagi suspek yang terbabit dengan kejadian itu masih diburu polis,” katanya.

Advertisements