KUALA LUMPUR : Pemuda UMNO menyokong tindakan Ahli Parlimen UMNO yang tidak keluar dewan sebagai bantahan kepada pelantikan Yang DiPertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pada Isnin.

Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata tindakan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman untuk kekal dalam dewan adalah tepat kerana Kerajaan tetap akan menjalankan pelantikan Yang DiPertua walaupun tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Rakyat hari ini sedar bahawa kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan yang tidak akan berjaya menjaga rakyat. 

“Namun, rakyat tetap mahukan pembangkang yang berwibawa bagi proses semak dan imbang kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, harapan rakyat adalah pihak pembangkang tidak membuat ‘kerja bodoh’ seperti yang kerajaan hari ini pernah buat waktu lalu ketika mereka menjadi pembangkang.

“Rakyat mahukan pembangkang yang berwibawa dan bukan pembangkang sarkas seperti sebelum in,” kata Azri.

Beliau juga berharap Ahli Parlimen Pembangkang faham sentimen rakyat pada hari ini agar dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

“Tiada guna keluar dewan dan kemudian masuk kembali dewan untuk sesi angkat sumpah. Bukan kah ia nampak bodoh di mata rakyat?” katanya.

Advertisements