Kuala Lumpur: Kerajaan tidak perlu melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebaliknya ujar beliau, kerajaan seharusnya mengkaji semula pelaksaaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang boleh membawa hasil yang sama kepada negara.

Menurut Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin cadangan tersebut akan diketengahkan di dalam perbahasannya di Dewan Rakyat ketika membahaskan titah Diraja pada persidangan kali ini.

“Saya akan usulkan bahawa tak perlu sebenarnya kerajaan melaksanakan SST. Cuma mungkin boleh dilihat sistem GST dengan kadar yang lebih rendah.

“Ia boleh membawa hasil yang sama kepada kerajaan dengan sistem percukaian yang lebih cekap,” katanya kepada media di lobi Parlimen, Selasa.

Mengulas mengenai titah Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam ucapan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-14 hari ini, Khairy berkata saranan baginda kepada pembangkang adalah satu titah yang baik dan akan disambut pada sesi perbahasan.

“Sudah pasti saranan daripada Yang Dipertuan Agong adalah untuk kita mainkan peranan sebagai wakil rakyat yang dapat membina bersama Malaysia yang baru ini.

“Saranan daripada YDPA untuk menjadi pembangkang yang konstruktuf, ini satu nasihat dan titah yang sangat baik dan kami akan sambut dalam perbahasan nanti,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap agar segala urusan persidangan Dewan Rakyat kali ini berjalan lancar.

“Semoga segala urusan berjalan dengan baik. Kita semua bekerja untuk rakyat tanpa mengira parti politik. Kita kena menjalankan tugas dengan ikhlas dan promosikan silaturrahim dan kurangkan ketegangan.

“Saya harap dengan adanya budaya baru ini kita semua dapat berfikir sebagai satu pasukan demi rakyat negara. Jadi yang penting seperti gejala sosial, peluang pekerjaan, kedudukan ekonomi, masalah rakyat, itu yang akan harus ditekankan.

“Kami wakil rakyat akan menumpukan seluruh perhatian untuk pastikan bahawa kita terus berkhidmat tanpa mengira parti politik,” kata ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

Terdahulu Sultan Muhammad V di dalam titah baginda berharap semua kejayaan, pencapaian serta pengiktirafan dalam pelbagai bidang yang dicapai oleh negara sebelum ini akan dapat dipertingkatkan.

Justeru, baginda menitahkan supaya kerajaan, pihak swasta dan rakyat hendaklah terus bekerjasama dalam usaha menyusun masyarakat, terutama memperbaiki ekonomi rakyat yang masih terpinggir. 

Advertisements