PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy mengaku lelaki berambut panjang yang hadir ke Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Negara di Parlimen, kelmarin mempunyai hubungan persaudaraan dengannya.

Waytha Moorthy berkata, lelaki yang dikenali dengan nama Arunachalanandaji itu adalah warga Singapura dan kini menetap di India serta disifatkan sebagai seorang individu mengabdikan sebahagian dirinya kepada alam.

“Dia adalah saudara yang saya anggap seperti abang. Saya terkejut dengan pelbagai andaian berhubung perkara ini dan kita tidak boleh prasangka buruk dengan hanya melihat imej seseorang.

“Beliau mendedikasikan lebih 30 tahun hidupnya kepada alam dengan tinggal di kawasan pergunungan. Saya amat menghormatinya, oleh sebab itu beliau dipelawa hadir ke majlis angkat sumpah dan ingin memberi sokongan atas pelantikan saya sebagai Senator,” katanya selepas Majlis Taklimat Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai etika kod pemakaian lelaki itu di Parlimen.

Gambar lelaki yang berambut dan berjanggut panjang itu ketika Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Negara, semalam viral di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai andaian dalam kalangan orang ramai.

Sementara itu, Waytha Moorthy berkata, isu jurang perpaduan kaum antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak menjadi fokus utamanya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial).

Katanya, melalui semangat ‘Malaysia Baharu’, persepsi itu harus diubah di mana setiap rakyat harus belajar untuk memahami setiap budaya dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama, bangsa dan etnik.

“Secara jujurnya masyarakat termasuk saya sendiri hanya mengetahui tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India sedangkan banyak lagi kaum terdapat di negara ini.

“Dalam jangka masa yang singkat iaitu tempoh tiga tahun sebagai seorang Senator, saya perlu menggandakan usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian semua kaum di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau selaku Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) memaklumkan pertubuhan itu sedang dalam proses pendaftaran sebagai parti politik.

Advertisements