KUALA LUMPUR – Pengusaha kedai dobi yang menggunakan sistem paip gas berpusat yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) perlu mendapat kelulusan dan lesen daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk beroperasi.

ST dalam satu kenyataan media berkata, mana-mana pengusaha kedai dobi yang gagal mendapat kelulusan dan lesen ST boleh didenda RM100,000 atau dihukum penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Bekalan Gas 1993.

“Denda selanjutnya adalah sehingga RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

“Pada masa ini kurangnya kesedaran terhadap keperluan undang-undang dan pematuhan piawai keselamatan yang berkaitan menyebabkan berlaku kes kemalangan disebabkan oleh kebocoran gas,” kata kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan itu, pengusaha kedai dobi yang gagal mendapat kelulusan dan lesen ST boleh didenda sehingga RM100,000 dan denda RM2,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan dibawah Peraturan 15(1) Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997.

“ST juga memberi amaran bahawa premis dobi yang menggunakan sistem talian paip gas berpusat adalah merupakan kawasan larangan merokok,” kata kenyataan itu.

Advertisements