SAN FRANCISCO: Facebook menjadi media sosial pertama untuk membuang maklumat tidak benar yang menjadi punca masyarakat tertentu menjadi mangsa keganasan.

Perhatian selepas ini tentu beralih kepada platform lain seperti Instagram dan WhatsApp sama ada akan ambil langkah yang sama.

“Kami telah kenal pasti maklumat tidak benar tertentu yang dikongsi rakyat di beberapa negara yang boleh mencetuskan kegtegangan dan membawa kepada serangan fizikal di luar talian.

“Kami ada tanggungjawab bukan hanya mengurangkan perkara seperti itu tetapi juga membuangnya,” kata seorang pengurus produk Facebook.

Media sosial itu menghadapi kritikan yang semakin meningkat apabila ‘posting’ tertentu mencetuskan keganasan di beberapa negara termasuk di Sri Lanka, Myanmar dan India apabila khabar angin menjadi punca serangan.

Facebook banyak kali dikritik kerana platformnya digunakan untuk memberi mesej kebencian dan maklumat palsu hingga membawa kepada keganasan.

Di Myanmar, Facebook dituduh penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia memberi galakan kepada keganasan ke atas penduduk Muslim apabila membenarkan ‘cakap-cakap’ anti-Muslim dan penyiaran berita palsu.

Di Sri Lanka, rusuhan meletus selepas berita palsu menjadi punca pergaduhan antara penduduk majoriti Buddha dengan orang Islam, lapor The New York Times. – Agensi

Advertisements