KUALA LUMPUR – Kerajaan berpegang kepada janjinya yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 dan komited untuk merealisasikannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun berkata tumpuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan sekadar melaksanakan janji-janji berkenaan sahaja malah usaha turut dibuat untuk memperbaiki semula pentadbiran kerajaan.

“Dalam masa 100 hari ini juga banyak kerja yang perlu dilaksanakan kerajaan. Yang diutamakan ialah tindakan membersihkan kerajaan daripada kerosakan hasil daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa yang melanda jentera kerajaan terdahulu,” kata Dr Mahathir pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, usaha ini dibuat antaranya menerusi tindakan undang-undang terhadap jenayah yang dikesan dalam kerajaan, usaha mengesan dan membawa balik wang milik kerajaan yang hilang, menyusun semula jabatan dan seumpanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata jabatan dan agensi kerajaan juga sedang meneliti mekanisme pelaksanaan janji-janji itu supaya ia dapat dilaksanakan secara teratur dan mengikut undang-undang.

Advertisements