KUCHING: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah dipanggil sekali lagi oleh polis untuk memberi keterangan berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata Najib dipanggil memberi keterangan beberapa hari lalu.

Katanya, keterangan Najib itu bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan termasuk rampasan barangan dan wang tunai, baru-baru ini.

“Saya sahkan beliau (Najib) sudah dipanggil sekali lagi memberi keterangan kepada polis untuk kes 1MDB.

“Siasatan lanjut juga giat dijalankan, terutama membabitkan barangan dan wang tunai yang dirampas, selain yakin kertas siasatan dapat diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.

Jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak kini dipangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim yang menggantikan Datuk Seri Amer Awal yang bersara wajib.

Dalam perkembangan berkaitan, polis masih giat mengesan ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dipercayai sudah melarikan diri ke China.

Katanya, risikan dan pertukaran maklumat antara negara yang dipercayai menjadi lokasi Jho Low terus ditingkatkan.

“Walaupun mengambil masa, saya beri jaminan beliau (Jho Low) tetap akan dibawa balik ke Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jho Low dikatakan sudah melarikan diri dari Macau ke China menggunakan pasport lain.

Advertisements