SUBANG JAYA: Kertas siasatan kes pembunuhan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibuka semula telah selesai, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Kita telah lengkapkan siasatan dan akan kemukakan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara.

“Kita sedang menunggu arahan selanjutnya,” katanya.

Pada 20 Jun lalu, bapa Altantuya, Dr Shaaribuu Setev telah membuat laporan polis meminta supaya kes berkenaan dibuka semula.

Sehari selepas itu, Mohamad Fuzi mengesahkan pihaknya akan menyiasat semula kes berkenaan.

Altantuya dipercayai dibunuh dan mayatnya telah diletupkan menggunakan bahan letupan di kawasan hutan di Mukim Bukit Raja, Klang antara pukul 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

Pada 2009, bekas anggita Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun menolak keputusan penghakiman itu pada 2013 dan susulan permohonan rayuan pihak pendakwa, keputusan telah dikekalkan Mahkamah Persekutuan.

Sirul bagaimanapun telah melarikan diri ke Australia dan ditahan Imigresen negara berkenaan dan ditempatkan di pusat tahanan di Sydney sejak 2015.

Advertisements