KOTA BHARU: Tiga pelajar tingkatan tiga yang dipercayai membaling mercun bola yang diubah suai di sebuah sekolah di Penambang di sini, semalam, berjaya ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebaik menerima maklumat kejadian itu, pihaknya terus menjalankan siasatan terperinci di lokasi termasuk menemuduga guru disiplin.

Katanya, hasil siasatan, polis berjaya mengenal pasti tiga suspek yang juga pelajar sekolah berkenaan.

“Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

“Seorang lagi suspek menyerah diri di IPD Kota Bharu jam 10 malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, suspek direman antara tiga hingga empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau bahan letupan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menghasilkan bahan letupan menggunakan belerang dari mercun bola yang dicampur dengan karbait.

“Siasatan awal mendapati bahan letupan itu diisi dalam cawan plastik sebelum dibalut dengan getah tiub motosikal.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan cermin tingkap di empat bilik yang terletak di aras bawah bangunan sebuah sekolah menengah di Penambang di sini, rosak dipercayai dibaling mercun bola yang diubah suai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kerosakan cermin itu membabitkan bilik guru disiplin, kaunseling, Hal Ehwal Murid (HEM) dan dewan.

Advertisements