SERDANG: DAP Selangor akan mengadakan mesyuarat khas susulan kemalangan yang mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee, di Kilometer 11. 7 Lebuh Raya Grand Saga, Cheras, tengah malam tadi.

Bendahari DAP Selangor yang juga ADUN Kinrara, Ng Sze Han, berkata mesyuarat itu yang akan diadakan malam ini, bagaimanapun hanya memfokus pada insiden kemalangan berkenaan dan tidak membincangkan soal pilihan raya kecil (PRK) DUN Balakong.

“Kita mungkin akan mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi membantu meringankan beban keluarga mendiang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Serdang, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi, kenderaan jenis Nissan X-Trail dipandu Tien Chee dipercayai terlanggar belakang sebuah lori milik syarikat konsesi Lebuh Raya Grand Saga yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan dan pembersihan di lebuh raya berkenaan.

Tien Chee atau dikenali sebagai Eddie Ng, 40, yang maut di tempat kejadian, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri satu majlis makan malam di ibu negara.

Mengulas lanjut, Sze Han menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi dan prihatin terhadap kebajikan rakyat, malah pernah mengetuai pasukan DAP Selangor ke Kelantan bagi membantu mangsa banjir di negeri itu pada 2014.

“Saya kenal mendiang sejak 10 tahun lalu. Ketika itu, saya dan beliau masing-masing menjadi Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).

“Mendiang sentiasa mengambil inisiatif dan menghulurkan bantuan kepada rakyat, terutama yang menghadapi bencana atau banjir teruk,” katanya.

Advertisements