PUTRAJAYA – Dasar Perumahan Negara yang baharu bertujuan memudahkan pemilikan rumah oleh rakyat akan diperkenalkan akhir tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata melalui dasar baharu itu, polisi-polisi yang akan diubah akan membantu memudahkan proses pinjaman dan perundangan untuk rakyat memiliki kediaman sendiri.

Kementerian mengadakan pertemuan bagi berbincang dengan Bank Negara, Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, bank-bank, persatuan pemaju dan persatuan pembeli bagi merumuskan dasar baharu itu.

“Matlamat kerajaan adalah untuk memudahkan pemilikan harga rumah dengan perubahan polisi-polisi berkaitan, perundangan, pembiayaan dan konsep-konsep rumah,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek perumahan penjawat awam, Pudina di Presint 17 di sini hari ini.

Zuraida juga memaklumkan semua projek perumahan rakyat seperti PR1MA, PPA1M, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) akan diletakkan di bawah kementeriannya Ogos ini.

“Buat masa ini, projek berkenaan diuruskan oleh beberapa kementerian dan agensi yang berlainan,” katanya.

Mengulas sama ada beberapa harga bahan seperti simen dan batu bata akan lebih murah selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Zuraida berkata adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melihat harga rumah turun apabila adanya penjimatan kos.

Akta SST yang bakal dilaksanakan 1 Sept ini mencadangkan cukai jualan ditetapkan 10 peratus dan cukai perkhidmatan enam peratus.

Advertisements